Anwar Ibrahim
KUANTAN: Semua jemaah menteri dan pegawai kanan kerajaan diminta turun ke kampung pilihan menerusi program Kampung Angkat Madani sebulan atau dua bulan sekali bagi memantau dan menyelesaikan permasalahan serta isu-isu yang membelenggu rakyat di situ.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selain menerangkan tentang pelaburan dan projek besar, arahan kerajaan Pusat dalam program Kampung Angkat Madani, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, menteri-menteri, ketua setiausaha negara (KSN), ketua setiausaha kementerian (KSU) dan semua pegawai kanan kerajaan mesti memilih kampung asal atau lain-lain untuk dijadikan kampung angkat masing-masing.
“Sebab apa pilih begitu? Sebab kita semua ada teori masing-masing bercakap soal kesihatan, ekonomi, sosial dan pendidikan. Bagaimana kita hendak ukur berjaya atau tidak? Kita ukur dari peringkat bawah, bermakna kalau nak tahu berjaya atau tidak, turun ke kampung lihat soal kesihatan, pendidikan, keciciran, bumbung bocor, soal orang miskin, soal mental dan masjid.
“Macam mana kita hendak tahu? Sekarang ini ada jentera kerajaan, betul, tapi kadang-kadang tak sampai maklumat.
“Jadi sekitar 2,000 ke 3,000 orang besar-besar ini, dia balik kampung dia dengar daripada jawatankuasa masjid, persatuan belia, persatuan masyarakat, ketua kampung, penghulu dan penggawa. Dia dengar sendiri semua di bawah, tak payah panggil daripada pusat dan negeri, dia sendiri turun mudah-mudahan dapat selesai dengan baik,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kampung Angkat Madani Peringkat Kebangsaan 2024 di Kampung Chengal Lempong di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, tindakan turun ke kampung dan mendengar permasalahan di situ sudah pun dilakukannya beberapa bulan lalu di kampungnya di Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
“Saya melakukannya beberapa bulan lalu dan ada mesyuarat beberapa kali di kampung saya. Saya lahir di Sungai Bakap, tapi umur lima tahun pindah ke Bukit Mertajam dan Cherok Tok Kun, saya membesar di Cherok Tok Kun jadi saya pilih Cherok Tok Kun.
“Saya panggil imam, guru besar, guru-guru tengok masalah keciciran murid dan pelajar. Kenapa anak ini berhenti sekolah, tengok masalah dadah di kampung.
“Cara ini, kita turun dan dngar sendiri. Mudah-mudahan, rakan-rakan, pegawai kanan terutamanya ambil perkara ini sebagai serius. Bukan setiap hari, sebulan sekali atau dua bulan sekali pun tak apa. Tapi ada orang bertugas pantau kampung,” katanya.
Beliau berkata, soal pembangunan tidak hanya di kota atau bandar, kerajaan perlu turut memberikan tumpuan supaya kampung-kampung tidak ketinggalan membabitkan soal digital, komputer sehingga ke kecerdasan buatan (AI).
“Bila ada tokoh atasan turun ke bawah (kampung), semua dia boleh dismpaikan. Dari longkang kampung sampailah ke program AI terutama untuk anak-anak muda. Ini menunjukkan cara kita menilai keberkesanan program yang kita laksanakan.
“Untuk kampung, kita berbicara soal kampung, sekolah ada atau tidak, guru cukup atau tidak, komputer ada atau tidak? perpustakaan ada atau tidak? Bagaimana keputusan peperiksaan?
“Sekarang ini, kita hendak mulakan balik beberapa ujian untuk menilai beberapa orang yang masuk ke sekolah menengah, beberapa orang tercicir, beberapa orang masuk Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET), beberapa orang masuk universti. Ini tujuan kita adakan projek yang saya katakan Mampung Madani,” katanya.
Beliau berkata, program kampung angkat ini merupakan cara kerajaan menilai keberkesanan dasar ekonomi madani yang sudah diumumkan sebelum ini berhubung soal kemampaman, keterampilan, transisi tenaga dan transformasi digital.
“Bunyinya memukau dan mengangumkan. Untuk menilai keberkesanan dasar itu, turun ke kampung-kampung dan lihat apa yang ada di kampung-kampung,” katanya.
































