Sebahagian patung topi Sue Bonnet yang dipamerkan dalam majlis tersebut dekat Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di Shah Alam, Selangor, hari ini.
SHAH ALAM: Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) Cawangan Selangor mencipta rekod apabila menghasilkan 56,436 buah patung topi Sue Bonnet menggunakan pentutup botol dan kain perca paling banyak di Malaysia.
Menurut Utusan Malaysia, Bekas Ketua Pesuruhjaya Pandu Puteri Selangor yang mengetuai program tersebut, Saadiah Yusof berkata, pasukannya mencipta rekod berkenaan bagi menyokong usaha menyelamat alam sekitar yang dianjurkan kerajaan.
“Program ini turut menyokong inisiatif Sustainable Development Goals (SDG) yang diperkenalkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mahu pembangunan sesebuah negara harus seiring dengan penjagaan alam sekitar yang opitimum.
“Program menghasilkan patung topi Sue Bonnet bermula pada Februari tahun ini dengan melibatkan 1,536 orang ahli Pandu Puteri daripada pelbagai peringkat dari seluruh negeri,” katanya pada majlis pengiktirafan rekod tersebut daripada Malaysian Book Of Record (MBOR), hari ini.
Sijil pengiktirafan rekod tersebut disampaikan oleh wakil MBOR, Siti Nurhanim Mohd. Noh kepada Timbalan Yang Dipertua Pandu Puteri Cawangan Selangor, Puan Sri Aisha Shamsuddin.
Tambahnya, beliau turut bercadang untuk menjalankan satu lagi program bagi mencipta satu lagi rekod, sekaligus dapat meningkatkan imej Pandu Puteri di peringkat antarabangsa.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Akademik Politeknik Shah Alam (PSA), Dr. Ahmad Aftas Azman berkata, warga politekniknya turut terlibat dalam projek terbabit, dengan menghasilkan 2,250 buah patung topi Sue Bonnet.
Menurutnya, pihaknya turut merancang untuk menyumbang patung tersebut kepada kanak-kanak yang menjalani rawatan di hospital-hospital terpilih sekitar Lembah Klang serta pengunjung pada Karnival Pendidikan Kerjaya Murid (SUKSES) yang akan berlangsung pada 9 dan 10 Julai ini.
“Saya menzahirkan penghargaan kepada Pandu Puteri Cawangan Selangor kerana sudi bekerjasama dengan pihak PSA untuk menjayakan program ini.
“Diharap program ini dapat memberikan inspirasi kepada generasi muda, iaitu betapa pentingnya bagi kita untuk menjaga alam sekitar demi kelestarian negara untuk jangka masa panjang,” ujarnya.

































