Kerosakan pada bahagian dalam pesawat yang terpaksa mendarat di Brazil selepas dilanda gelora udara.
BRASILIA: Seramai 30 penumpang mengalami kecederaan selepas penerbangan dari Madrid ke Uruguay dilanda gelora udara yang kuat sehingga terpaksa melakukan pendaratan cemas di Brazil, semalam.
Menurut Utusan Malaysia, syarikat penerbangan Sepanyol Air Europa menerusi catatan di X memaklumkan penerbangan UX045 menuju Montevideo terpaksa dilencongkan ke Lapangan Terbang Natal di Brazil akibat insiden itu.
“Pesawat mendarat seperti biasa dan mereka yang mengalami pelbagai jenis kecederaan sudah menerima rawatan,” katanya.
Pesawat yang dilanda gelora itu adalah Boeing 787-9 Dreamliner, berdasarkan laman web pengesan penerbangan, FlightAware.
Pesawat itu mempunyai kapasiti yang mampu memuatkan sehingga 339 penumpang.
Seorang penumpang, Maximiliano berkongsi detik cemas ketika pesawat itu berada dalam keadaan tidak stabil.
“Ketika itu, ramai penumpang yang tidak memakai tali pinggang keledar dan mula melambung ke udara sehingga melanggar siling,” kongsinya.
Seorang lagi penumpang, Stevan, memberitahu terdapat penumpang yang patah tulang dan cedera pada lengan, muka dan kaki mereka.
“Ia adalah satu perasaan yang cukup mengerikan. Kami fikir akan mati di dalam kapal terbang, tetapi ia tidak berlaku,” luahnya.
Menurut syarikat itu, pesawat lain dijangka berlepas pada Isnin dari Madrid dan mengambil penumpang yang terkandas di Brazil untuk meneruskan perjalanan ke Uruguay.
































