Pusat pemindahan sementara yang dibuka di Dewan Kebudayaan Penampang- Ihsan APM
KOTA KINABALU: Mangsa banjir yang di Sabah meningkat daripada 328 orang kepada 464 orang hari ini.
Kesemua 464 mangsa daripada 140 keluarga itu ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS) di Penampang, Putatan, Tuaran dan Daerah Kecil Tamparuli yang dibuka sejak Ahad dan semalam.
Menurut Utusan Malaysia, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah memaklumkan Penampang antara daerah paling terkesan dengan 279 mangsa banjir dipindahkan ke PPS Dewan Kebudayaan Penampang, diikuti dengan Putatan yang memperlihatkan 138 mangsa ditempatkan di PPS Dewan Sri Putatan.
Untuk Tuaran, seramai 29 mangsa daripada lapan buah keluarga ditempatkan di PPS Dewan Balai Raya Kampung Tutu Selupoh manakala,18 mangsa daripada lima keluarga ditempatkan di PPS Dewan Balai Raya Kampung Bontoi, Tamparuli.
Semalam, korban banjir pertama direkodkan di Penampang membabitkan seorang wanita berusia 37 tahun yang dihanyutkan arus semasa cuba menyelamatkan diri daripada kenderaan yang ditenggelami air berhampiran Jalan Penampang Bypass.
Hari ini, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah memaklumkan terdapat enam sekolah masih ditutup di Penampang dan Tuaran yang membabitkan 2,659 orang pelajar.
Tiga sekolah ditutup di Penampang adalah Sekolah Menengah (SM) St Michael, Sekolah Kebangsaan (SK) St Theresa Inobong dan SK Kibabaig.
Sementara itu, tiga sekolah yang ditutup di Tuaran adalah SK Kauluan, SK Bawang dan SK Lingga Baru.


































