SEREMBAN: Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut selepas basikal dinaikinya dirempuh secara tidak sengaja oleh sebuah kereta jenis Perodua Ativa dalam kemalangan di Jalan Nusari Aman, Bandar Sri Sendayan di sini malam Ahad.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta berkata, mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 8.05 malam ketika sedang dirawat di Zon Unit Rawatan Rapi (ICU) Hibrid Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) akibat kecederaan parah di badan.
“Pada pukul 7 malam 30 Jun 2024, telah berlaku satu kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kereta Perodua Ativa dengan sebuah basikal di Jalan Nusari Aman, Bandar Sri Sendayan.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta Perodua Ativa yang dipandu seorang lelaki berusia 34 tahun sedang bergerak dari arah Jalan Nusari Aman 2/2M menuju ke arah pintu pos pengawal Taman Nusari Aman 1B,” katanya kepada pemberita di sini kelmarin.
Mohamad Hatta berkata, kemudian datang sebuah basikal yang ditunggang mangsa iaitu seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dari arah bertentangan.
“Pada masa sama, basikal mangsa bergerak di belakang sebuah kereta pacuan empat roda jenis Toyota Hilux sebelum masuk ke laluan Perodua Ativa (arah bertentangan).
“Pemandu Perodua Ativa tidak sempat mengelak dan terus melanggar basikal mangsa,” katanya.
Jelas beliau, akibat kemalangan, mangsa penunggang basikal mengalami kecederaan di badan dan telah dibawa ke HTJS untuk menerima rawatan.
“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia pada pukul 8.05 malam ketika dirawat di Zon ICU hospital yang sama,” katanya.
Beliau berkata, sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Fadzilah Ahmad di talian 016-2895801 atau boleh terus ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.
Difahamkan jenazah mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Melayu Subang di Selangor kelmarin.
































