PENAMPANG: Seorang wanita ditemukan lemas dipercayai dihanyutkan arus deras akibat banjir yang berlaku di daerah ini semalam.
Mangsa dikenali sebagai Monica Ting, 37, ditemukan lemas kira-kira pukul 8 pagi tadi berhampiran bulatan Sigah.
Ketua Polis Daerah Penampang, Supernitendan Sammy Newton berkata, mayat mangsa ditemukan kira-kira 500 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
“Mayat mangsa tersebut tersangkut di celah-celah pagar dan pokok bunga.
“Mangsa dipercayai dihanyutkan semasa sedang melintasi kawasan yang berair deras kerana pada ketika itu kemuncak air tengah pasang. Air banjir ketika itu berada pada paras pinggang,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.
Sammy berkata, polis menerima laporan mengenai mangsa hilang dikhuatiri dihanyutkan arus akibat banjir kira-kira pukul 10 malam.
Katanya, berikutan itu operasi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan enam pegawai dan anggota PDRM, 20 pegawai dan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan 10 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).


































