Dua anggota polis alami kecederaan selepas kenderaan MPV dinaiki mereka ketika sedang betugas dilanggar sebuah kereta dekat persimpangan lampu isyarat Persiaran Kayangan – Persiaran Bestari, Seksyen 7 di Shah Alam, Selangor, kelmarin.
SHAH ALAM: Sebuah unit kereta peronda polis (MPV) dilanggar kenderaan jenis Honda City ketika melalui persimpangan lampu isyarat dekat Persiaran Kayangan – Persiaran Bestari, Seksyen 7, di sini, pada Sabtu lalu.
Pelanggaran tersebut menyebabkan dua anggota polis terdiri daripada pemandu dan penumpang MPV masing-masing berusia 33 tahun itu mengalami kecederaan di bahagian tangan, muka dan kepala.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, kejadian kira-kira pukul 8.10 malam itu berlaku ketika pasukan terbabit dalam perjalanan ke Pusat Komersial, Seksyen 7 selepas menerima laporan pergaduhan di sana.
“Hasil semakan dan siasatan awal mendapati pemandu MPV Polis jenis Proton Waja yang menerima panggilan kecemasan berkaitan kes pergaduhan sedang menghala melintasi persimpangan tersebut dalam keadaan memasang siren dan ‘beacon light’.
“Kemudian, MPV terbabit dilanggar di bahagian sisi kiri oleh sebuah kereta Honda City yang bergerak lurus semasa lampu isyarat hijau,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambahnya, dua anggota polis berkenaan dikejarkan ke Hospital Shah Alam dengan menaiki ambulans, sementara pemandu Honda City berusia 24 tahun itu pula tidak mengalami sebarang kecederaan.
Dalam pada itu, Mohd. Iqbal memaklumkan kemalangan tersebut menyebabkan kerosakan di bahagian fender dan pintu sisi kiri rosak, serta cermin hadapan dan sisi kiri penumpang juga pecah manakala Honda City pula alami kerosakan pada bumper, bonet hadapan serta komponen enjin.
“Kes disiasat di bawah seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Zaharizul Zamri ditalian 019-3229097,” ujarnya.


































