Tangkap layar rakaman video yang tular menunjukkan individu menaiki Toyota Vellfire mencuri bungkusan barangan di Taman Desa Cemerlang, Johor Bahru.
JOHOR BAHRU: Siapa sangka individu yang menaiki kenderaan mewah bertindak mencuri bungkusan barangan yang ditinggalkan di pagar rumah, namun itu yang berlaku di Taman Desa Cemerlang, di sini, Khamis lalu.
Tular dalam media sosial satu rakaman video menunjukkan seorang individu yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire bertindak demikian.
Menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) itu, kelihatan MPV berkenaan bergerak perlahan sebelum berhenti di hadapan rumah mangsa itu.
Rakaman itu menunjukkan seorang individu berbaju putih dengan memakai pelitup muka keluar dari kenderaan berwarna hitam itu dan mengambil bungkusan tersebut sebelum tergesa-gesa beredar meninggalkan lokasi.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak berkata, pihaknya telah mengesan video berkenaan yang tular dalam laman sosial Facebook semalam.
“Kejadian tersebut dilaporkan seorang lelaki tempatan berusia 59 tahun. Hasil siasatan mendapati kejadian dalam video yang berdurasi 41 saat itu berlaku pada pukul 3.49 petang Khamis lalu,” katanya, di sini hari ini.
Pihaknya sedang giat mengesan suspek dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu boleh menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat Kanan Asisten Superintenden Afzan Musa menerusi talian 016-2956969 atau 07-3864222.
Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


































