PETALING JAYA: Seorang pelajar tingkatan satu yang cedera parah selepas dipercayai terjatuh dari tingkat lima bangunan sekolahnya di Kajang dekat sini Jumaat disahkan meninggal dunia, kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pelajar lelaki berusia 13 tahun itu disahkan meninggal dunia pada pukul 2.30 pagi di Hospital Kajang.
Katanya, sebelum polis menerima panggilan berupa maklumat kejadian pelajar sekolah ditemukan dalam keadaan cedera dipercayai terjatuh dari tingkat tig bangunan sekolah pada 5.30 petang hari sebelumnya.
“Siasatan lanjut dari rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperolehi mendapati mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat lima bangunan sekolah.
“Hasil bedah siasat yang dijalankan ke atas pelajar itu pada 2.30 petang hari ini (kelmarin) mendapati punca kematian adalah disebabkan kecederaan jatuh dari tempat yang tinggi,” katanya dalam kenyataan semalam.
Menurut Nazron, susulan itu, polis telah menubuhkan satu pasukan siasatan khas bagi menyiasat kes ini dengan lebih terperinci.
Jelas beliau, setakat ini seramai lapan saksi telah dipanggil polis bagi merakam percakapan bagi membantu siasatan lanjut dalam kes tersebut.
Tambahnya, polis setakat ini mengklasifikasikan kes sebagai laporan mati mengejut (SDR).
“Siasatan sedang diteruskan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta untuk berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes Inspektor Muhammad Faizal Azizi di talian 011-16120032 dari Bahagian Siasatan Jenayah Ib u pejabat Polis Daerah Kajang bagi membantu siasatan,” katanya.
Media sebelum itu melaporkan seorang pelajar tingkatan satu ditemukan cedera dipercayai terjatuh dari tingkat tiga dari sebuah bangunan sekolah di Kajang dekat sini.
Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kajanag telah menerima panggilan berupa maklumat kejadian kira-kira pukul 5.50 petang Jumaat.
Nazron dilaporkan berkata, siasatan mendapati seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun telah dikejarkan ke Hospital Kajang.
“Mangsa dirawat dengan beberapa kesan kecederaan di bahagian kepala dan anggota badan,” katanya.






























