Pemain Switzerland meraikan kejayaan mereka mara ke suku akhir Euro 2024 selepas berjaya menumpaskan Itali 2-0.
BERLIN: Switzerland melakar kejutan apabila menewaskan juara bertahan, Itali 2-0 untuk mara ke suku akhir Euro 2024, awal pagi tadi.
Dalam aksi di Olympiastadion itu, anak buah Murat Yakin mempamerkan aksi terbaik dengan permainan tersusun bagi memerangkap Itali.
Menurut Utusan Malaysia, gol pertama Switzerland hadir pada minit ke-37 menerusi Remo Freuler yang melakukan sepakan deras bagi menewaskan Gianluigi Donnarumma.
Sebelum berakhir babak pertama Switzerland hampir menambah jaringan menerusi sepakan percuma Fabian Rieder, tetapi berjaya ditepis keluar Donnarumma.
Bersambung babak kedua, anak buah Yakin hanya memerlukan 30 saat untuk menggandakan kedudukan apabila sepakan lencong menarik Ruben Vargas gagal ditepis Donnarumma.
Tersentak dengan jaringan itu, skuad kendalian Luciano Spaletti cuba bangkit dan mereka hampir meraih jaringan apabila tandukan pertahanan Switzerland, Fabian Schar menuju ke pintu gawang sendiri, tetapi terkena tiang.
Asakan bertali arus Itali selepas itu gagal menemui sasaran sehingga pengadil meniup wisel penamat yang menyaksikan juara bertahan itu tersingkir pada pusingan 16 pada edisi kali ini.
Di peringkat suku akhir, Switzerland akan bertemu pemenang perlawanan antara England dan Slovakia.


































