Keadaan pesawat ringan jenis Piper PA28-161 melakukan pendaratan cemas dekat sebuah kawasan lapang berhampiran Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang, di Klang, Selangor, kelmarin.
KLANG: Dua individu termasuk juruterbang pesawat ringan milik Kelab Penerbangan Subang yang melakukan pendaratan cemas di kawasan lapang berdekatan Bandar Sultan Suleiman di sini, petang kelmarin disahkan selamat.
Kedua-dua mangsa dikenalpasti sebagai Rolando Barba Jr, 57, dan pelatih juruterbang, Muhammad Ridz Farhan Ridzwan, 22.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Bomba Selangor, Wan Md. Razali Wan Ismail berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan melibatkan pesawat Piper PA28-161 itu pukul 4.13 petang.
Menurutnya, operasi penyelamatan disertai sepasukan 23 pegawai dan anggota bersama jentera dari Balai Bomba Klang Utara, Pelabuhan Klang dan Klang Selatan.
“Hasil pemeriksaan menyeluruh ke atas pesawat itu mendapati tiada sebarang tanda kebakaran berlaku.
“Jurulatih dan pelatih juruterbang pesawat juga dilaporkan selamat dalam kejadian tersebut,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisoner S. Vijaya Rao berkata, siasatan mendapati pesawat itu sedang menjalani latihan penerbangan dari Lapangan Terbang Subang menuju Ke Kuala Selangor.
“Pesawat berkenaan dipercayai mengalami kegagalan mekanikal iaitu enjin gagal berfungsi di udara. Jurulatih itu kemudiannya mengambil tindakan untuk mendaratkan pesawat,” jelasnya.
Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata, pesawat dengan pendaftaran 9M-ANA itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pukul 2.50 petang.
Menara Kawalan Subang menerima panggilan ‘mayday’ puku 2.58 petang dan Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautika Kuala Lumpur (KLARCC) CAAM diaktifkan selepas menerima maklumat bagi tujuan koordinasi operasi mencari dan menyelamat.
Siasatan akan dilaksanakan Bahagian XXIII Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.
































