IPOH: Tindakan seorang remaja lelaki yang cuba memberi suapan sebanyak RM50 kepada anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengundang padah apabila ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut Utusan Malaysia, difahamkan, remaja berusia 18 tahun itu menawarkan wang tersebut sebagai balasan untuk anggota penguat kuasa meluluskan ujian lesen memandu kereta (Kelas D) yang diambilnya.
Kejadian itu dikatakan berlaku sekitar pukul 10 pagi di sebuah akademi ujian memandu di Kuala Kangsar, semalam.
Sementara itu, Pengarah SPRM Perak, Ahmad Sabri Mohamed berkata, tawaran remaja itu bagaimanapun ditolak oleh anggota JPJ itu yang kemudian membuat laporan kepada SPRM.
Katanya, remaja itu ditahan pada pukul 1 tengah hari, hari yang sama ketika hadir ke pejabat SPRM Ipoh untuk memberi keterangan.
“Lelaki itu telah dibebaskan selepas keterangannya diambil. Siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut beliau, pihaknya mengalu-alukan aduan daripada orang ramai berkaitan tawaran rasuah yang diterima agar tindakan segera dapat diambil.
“Kita berharap lebih ramai pihak termasuk dalam kalangan penjawat awam dapat melaporkan kepada SPRM berkaitan sebarang tawaran rasuah.
“Tidak kiralah berapa pun nilai yang ditawarkan, kewajipan untuk melaporkan tawaran rasuah perlulah dipatuhi,” ujar beliau.
































