Dr. Dzulkefly Ahmad
PETALING JAYA: Terdapat sebanyak 6,787 kekosongan jawatan jururawat di Kementerian Kesihatan (KKM) membabitkan perjawatan sedia ada dan baharu disebabkan penaiktarafan serta pembinaan fasiliti baharu sektor kesihatan negara sehingga 31 Mac lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, KKM sedang melaksanakan proses pengambilan menerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) bagi memastikan bilangan jururawat yang mencukupi di seluruh fasilitinya.
Beliau berkata, pengambilan tersebut dibuat secara berfasa dalam kalangan graduan Diploma Kejururawatan daripada institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta serta graduan Diploma Kejururawatan dari Institut Latihan KKM (ILKKM).
“Selain usaha pengisian jawatan itu, KKM meningkatkan lagi jumlah pengambilan pelatih Diploma Kejururawatan di Institut Latihan KKM daripada 1,000 kepada 2,000 pelatih manakala penawaran kepada Jururawat Masyarakat ke Program Peningkatan Secara Lantikan (PSL) juga ditingkatkan daripada 800 ke 1,000 orang setahun,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulisnya di Dewan Rakyat bagi menjawab persoalan ditimbulkan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) mengenai tindakan KKM menangani peletakan jawatan jururawat yang dilaporkan kerana tidak puas hati dengan gaji rendah dan bagaimana kementerian mengisi jawatan kosong jawatan tersebut.
Dzulkefly berkata, pihaknya tidak memandang ringan isu tersebut kerana berpendapat ia boleh mengganggu kesinambungan penyampaian perkhidmatan kesihatan.
Menurutnya, masalah sama turut dihadapi fasiliti swasta berikutan terdapat juga petugas mereka yang meletakkan jawatan untuk bekerja di fasiliti kesihatan yang lain di dalam atau luar negara.
“KKM sentiasa dinamik untuk melaksanakan pelbagai inisiatif seperti memperbaiki persekitaran kerja, menimbang insentif dan kemudahan berbentuk kewangan dan bukan kewangan bagi mengekalkan petugas kesihatan, khususnya jururawat dalam perkhidmatan KKM.
“Kerajaan juga sedang memuktamadkan Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bagi menyemak semula gaji, insentif dan kemudahan kepada anggota perkhidmatan awam, termasuk pegawai yang berkhidmat dengan KKM dan semua input serta cadangan daripada pegawai dan kesatuan sudah pun dikemukakan untuk pertimbangan dalam kajian itu,” katanya.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan bahawa sebanyak 220 hospital swasta di seluruh negara terus berdepan masalah kekurangan jururawat yang boleh menjejaskan operasi mereka dan industri pelancongan kesihatan di negara ini.
Bagaimanapun, perkara itu diburukkan apabila Kementerian Sumber Manusia (KSM) belum meluluskan kemasukan 9,200 jururawat dari Filipina dan India untuk mengatasi masalah tersebut.


































