Pulau Mamutik
KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) mengambil serius and amat sedih terhadap kes lemas di Taman Tunku Abdul Rahman, Pulau Mamutik pada petang Sabtu lalu yang melibatkan seorang pelancong lelaki warga China yang menyertai aktiviti Selam Skuba Pembelajaran atau Discover Scuba Dive (DSD).
Menteri KePKAS Datuk Christina Liew dalam kenyataannya menjelaskan, aktiviti tersebut dilakukan di dalam zon rekreasi yang dikhaskan untuk aktiviti snorkeling dan berenang, dan diawasi oleh penyelamat pantai di atas pantai manakala aktiviti di bawah air dipimpin oleh divemaster.
“Pihak Kementerian dimaklumkan bahawa pada hari kejadian lapan orang peserta telah dipimpin oleh tiga orang divemaster di pantai Pulau Mamutik.
“Seorang peserta bermasalah telah dibawa naik ke permukaan dan pantai oleh seorang divemaster, meninggalkan tujuh orang DSD yang lain dipimpin oleh dua orang divemaster sahaja di bawah air. Keadaan air laut ketika itu dikatakan keruh akibat cuaca yg berombak dan hujan.
“Pada penghujung sesi selaman, hanya enam orang peserta yang naik ke pantai bersama dua orang divemaster. Seorang peserta yang tercicir telah dicari, kemudian ditemui di lokasi selaman, diberikan bantuan hayat, dan dikejarkan ke Hospital Ratu Elizabeth. Malangnya peserta tersebut meninggal dunia pada jam 4.10 petang,” katanya.
Katanya, keselamatan peserta selam skuba pembelajaran di bawah air laut adalah menjadi tanggungjawab divemaster yang terlatih melaksanakan tanggungjawab ini.
“Ruang penambahbaikan di sini ialah bilangan dan kapasiti divemaster untuk menjaga keselamatan peserta yang baharu belajar, serta kompetensi menyelam dan berenang serta disiplin dalam kalangan peserta.
“Pihak Kementerian akan menyiasat tragedi ini dengan teliti dan kekal meletakkan keselamatan pelancong sebagai keutamaan. Libat urus dengan pihak-pihak yang berkuasa dan yang berkenaan akan diadakan dalam minggu ini untuk menyiasat punca kemalangan ini.”


































