Kejadian tanah runtuh di kaki Gunung Kinabalu tular di media sosial.
RANAU: Satu kejadian tanah runtuh dilaporkan berlaku di kaki Gunung Kinabalu di Mesilau, Kundasang pagi ini.
Menurut laporan, kejadian dipercayai berlaku pada pukul 1.20 pagi, dan tidak melibatkan sebarang mangsa.
Difahamkan, kejadian menyebabkan aliran Sungai Mesilau yang mengalir ke Sungai Liwagu di Ranau bertukar menjadi berlumpur.
Kejadian itu dilaporkan hampir sama seperti kejadian banjir lumpur selepas gempa bumi berskala 5.6 skala Richter melandar kawasan itu pada Jun 2015.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ranau, Ridwan Mohd. Talib dilaporkan berkata, pihaknya menerima makluman mengenai kejadian yang tular di media sosial dan sepasukan bomba telah digerakkan ke lokasi untuk menjalankan pemantauan.
“Anggota masih menjalankan pemeriksaan di kawasan runtuhan,” katanya.
Menurut laporan, kejadian itu turut menyebabkan sistem air di kawasan berkenaan ditutup.
































