PUTRAJAYA: Liga Malaysia (Liga M) tidak mustahil boleh lingkup sekiranya pasukan yang bertanding masih gagal menangani masalah tunggakan gaji dalam kalangan pemain.
Malah, jumlah pasukan yang mengambil bahagian dalam Liga M turut berkurangan dan dijangka terus merosot sekiranya isu tersebut masih gagal diatasi.
Menurut Utusan Malaysia, pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli berkata, beliau tidak menolak jika isu tunggakan gaji gagal diatasi ia akan memberi kesan kepada bilangan pasukan yang bertanding dalam liga berkenaan.
“Saya risau dengan keadaan ini sebabnya kita tengok sekarang tinggal 13 pasukan masih lagi ada masalah gaji tak terima baru-baru ini. Saya rasa ada pasukan yang tak bayar gaji pada awal musim baru-baru ini dan fenomena ini tidak ada jalan penamat.
“Tiada solusi yang dicetuskan oleh bukan sahaja FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) dan MFL (Liga Bolasepak Malaysia) tetapi pasukan yang mengambil bahagian seperti tidak serik.
“Liga Super tahun ini ada 13 pasukan ada kemungkinan tahun depan tinggal 10 pasukan sahaja. Jadi, apa nak jadi dengan bola sepak kita. Kalau terpaksa undur ke belakang kita undur demi kebaikan kita.
“Kalau terpaksa undur ke belakang kita undur demi kebaikan kita. Adakah kita suka melihat Liga Super hanya beberapa pasukan sahaja yang dominan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Sebagai rekod, masalah tunggakan gaji hangat diperkatakan walaupun saingan liga baru sahaja bermula apabila tular di media sosial mengenai beberapa pasukan terpalit dengan isu tersebut.
Melihat kepada senario itu, Pekan berkata, tidak mustahil sekiranya Liga M lumpuh dalam beberapa tahun akan datang jika gagal dibendung.
“Kalau kita tidak cepat buat reformasi atau buat perbuahan drastik terhadap peraturan atau cara kita uruskan liga. Buatlah gaji syiling tapi kalua ada gaji bawah meja tiada gunanya. Semuanya berbalik kepada ukur baju di badan sendiri,” katanya.
































