PORT DICKSON: Polis mengesahkan menerima laporan daripada seorang wanita yang mendakwa dipukul suaminya di sebuah premis hotel di daerah ini dengan video kejadian itu turut tular dalam media sosial sejak semalam.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya mengesan video tular berdurasi 31 saat memaparkan seorang lelaki memukul seorang wanita di sebuah bangunan hotel.
Katanya, siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 9.50 pagi pada 24 Mei lalu di sebuah hotel dan pergaduhan tersebut melibatkan sepasang suami isteri.
“Punca kejadian dipercayai suaminya telah berlaku curang. Akibat daripada kejadian ini, mangsa mengalami kecederaan di bahagian pipi dan sakit di beberapa anggota.
“Satu laporan polis telah dibuat oleh mangsa mengenai Insiden yang berlaku dan polis telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 323/18A Akta Keganasan Rumahtangga bagi siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Aidi Sham menasihatkan orang awam supaya tidak menularkan isu berkenaan yang boleh mengganggu siasatan polis dan mendatangkan kegusaran awam.
































