Seorang lagi ahli keluarga suspek serangan Balai Polis Ulu Tiram didakwa di Mahkamah Sesyen, Johor Bahru.
JOHOR BAHRU: Lima ahli keluarga suspek yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram, di sini bulan lalu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas sembilan pertuduhan berkaitan ideologi keganasan.
Menurut Utusan Malaysia, kesemua tertuduh, Radin Imran Radin Mohd. Yassin, 62,Radin Romyullah Radin Imran, 34, Rosna Jantan, 59, Farhah Sobrina Radin Imran, 23, dan Mariah Radin Imran, 19, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.
Radin Imran yang merupakan bapa kepada suspek, Radin Luqman, 21, yang maut ditembak dalam kejadian itu turut berdepan empat pertuduhan berasingan, iaitu menanamkan ideologi keganasan berkaitan Islamic State (IS), menyimpan empat senapang angin buatan sendiri, telah berbaiah kepada pemimpin kumpulan IS, iaitu Abu Bakar Al-Baghdadi dan memiliki buku berkaitan IS.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di rumah bernombor 15, Lot 1288, Jalan Rabani, Kampung Sungai Tiram, Ulu Tiram dekat sini antara hujung tahun 2014 hingga 17 Mei lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 130G(a), Seksyen 130J(1)(b), Seksyen 130J(1)(a) dan Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun berserta denda, penjara seumur hidup atau tidak lebih 40 tahun berserta denda dan penjara tidak lebih tujuh tahun berserta denda, jika sabit kesalahan.
Berbaiah
Sementara itu, Radin Romyullah pula berdepan dua pertuduhan, iaitu telah berbaiah kepada pemimpin kumpulan IS, Abu Bakar Al-Baghdadi dan memiliki ‘hard disc’ yang mengandungi bahan berkaitan IS dan aktiviti kumpulan itu.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di lokasi sama antara hujung 2014 hingga 17 Mei lalu dan didakwa di bawah Seksyen 130J(1)(a) dan Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan (Akta 574).
Radin Romyullah berdepan hukuman penjara seumur hidup atau tidak lebih 40 tahun berserta denda dan penjara tidak lebih tujuh tahun berserta denda.
Rosna yang merupakan seorang warganegara Singapura, Farhah Sobrina dan Mariah pula didakwa atas satu pertuduhan, masing-masing dengan sengaja meninggalkan dari memberi maklumat berkenaan kesalahan berkaitan ideologi keganasan di lokasi sama antara April 2017 hingga 17 Mei lalu serta didakwa di bawah Seksyen 130M, Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun berserta denda, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 31 Julai.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari Unit Jenayah Berat, Jabatan Peguam Negara, Mohamad Mustaffa P. Kunyalam dan Fazeedah Faik.
Mohamad Mustaffa memaklumkan, sebutan semula kes itu bertujuan untuk pengurusan kes bagi memindahkan perbicaraan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Dalam kejadian serangan pada 17 Mei lalu itu, dua anggota poli, iaitu Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, maut akibat dibunuh, manakala seorang lagi anggota polis, Koperal Mohd. Hasif Roslan, 38, mengalami kecederaan akibat dua tembakan masing-masing di bahagian bahu dan pinggul.


































