Anwar Ibrahim diberi layanan istimewa di China termasuk bertemu Li Qiang (tiga dari kiri) yang memberikan gambaran bahawa Malaysia di bawah kepimpinan beliau mendapat perhatian khas pemimpin negara itu. – FB Anwar Ibrahim
PETALING JAYA: Perdana Menteri China, Li Qiang mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia bermula hari ini sehingga Rabu.
Menurut Utusan Malaysia, Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan, lawatan pertama beliau sebagai Perdana Menteri China ke negara ini adalah bersempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China berikutan penandatanganan Kenyataan Bersama oleh Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak dan Premier Pertama China, Chou En Lai pada 31 Mei 1974.
Kata kenyataan itu, semasa lawatan tersebut, Li akan mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membincangkan hal-hal berkaitan hubungan dua hala antara Malaysia dan China serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.
“Kedua-dua pemimpin juga akan menyaksikan pertukaran beberapa memorandum persefahaman dan persetujuan dalam pelbagai bidang kerjasama, termasuk ekonomi digital, pembangunan hijau, pelancongan, perumahan dan pembangunan urbanisasi, pendidikan tinggi, sains dan teknologi serta pengeksportan agrikomoditi ke China.
“Kedua-dua pihak juga akan menghadiri majlis makan malam bagi menyambut ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik,” kata kenyataan itu hari ini.
Dalam pada itu, Wisma Putra memaklumkan, Li juga akan mengadakan kunjungan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
“Kedua-dua pemimpin kemudian menghadiri majlis upacara pecah tanah Laluan Rel Pantai Timur (East Coast Rail Link – ECRL) di Gombak dan makan tengah hari bersama komuniti perniagaan dari kedua-dua negara,” tambah kenyataan itu.
Pada 2023, China kekal sebagai rakan perdagangan Malaysia terbesar bagi lima belas tahun berturut-turut dari tahun 2009, dengan jumlah perdagangan sebanyak RM450.84 bilion (AS$98.90 bilion).
“Hubungan diplomatik Malaysia dengan China bertambah kukuh sejak penaiktarafan hubungan dua hala kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada tahun 2013,” kata kenyataan.


































