Dua lelaki dijumpai lemas ketika sedang mandi-manda di Pantai Kuala Muda, Penaga, Pulau Pinang.- Gambar Media Sosial
KEPALA BATAS : Dua lelaki termasuk seorang remaja lemas ketika sedang bermandi-manda di Pantai Kuala Muda di sini, kira-kira pukul 5 petang kelmarin.
Difahamkan, selain dua mangsa tersebut, terdapat 11 lelaki lain yang sedang mandi di situ ketika kejadian.
Menurut Utusan Malaysia, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Muda, Mohd. Rizuwan Abu Hassan berkata, sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu, pihaknya terus bergegas ke lokasi kejadian.
“Mangsa pertama iaitu Ho Wei Keat (26 tahun) ditemui kira-kira pukul 6.50 petang manakala mangsa kedua pula iaitu Lim You Yie (14 tahun) dijumpai pada pukul 7.25 malam tadi.
“Jarak antara kedua-dua mangsa (ketika dijumpai) adalah berdekatan dengan lokasi mereka dipercayai sedang mandi,” katanya ketika dihubungi di sini, malam tadi.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, selain bomba, operasi mencari dan menyelamat (SAR) turut dijalankan dengan kerjasama Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) serta sekumpulan nelayan.
“Mayat kedua-dua mangsa yang lemas itu kemudian dibawa ke Hospital Kepala Batas untuk tujuan bedah siasat,” ujar beliau.


































