PETALING JAYA: Lima termasuk seorang remaja berusia 17 tahun ditahan kerana disyaki terbabit mempromosi aktiviti persundalan dan pelacuran di media sosial.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, semua suspek ditahan dalam serbuan di sebuah lokasi di Kajang, Selangor pada 6 Jun lalu.
Menurut beliau, mereka yang ditahan membabitkan seorang wanita tempatan berusia 27 tahun yang dikenali sebagai Miza Ozawa, dua remaja warga tempatan berusia 17 dan 20 tahun serta dua warga Indonesia termasuk seorang wanita berusia 20 dan 26 tahun.
“Semakan ke atas dalang utama mendapati dia mempunyai rekod lampau dan pernah dihukum mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan berkait kes pukul terhadap ibunya.
“Dalang utama serta dua warga Indonesia itu juga berperanan sebagai ‘pelakon’ dalam rakaman video lucah yang dihasilkan oleh mereka dan turut dijual kepada pelanggan mengikut permintaan,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini kelmarin.
Menurut Mohd. Shuhaily, siasatan awal menunjukkan kumpulan ini selain menjual produk seks secara dalam talian turut menawarkan khidmat seks kepada pelanggan yang berminat.
Katanya, siasatan turut mendapati kumpulan ini mampu menjana pendapatan sehingga RM20,000 sebulan hasil daripada kegiatan persundalan dan jualan produk seks.
“Dua remaja yang ditahan pula berperanan sebagai pembantu kepada dalang utama selain pembantu teknikal untuk rakaman video seks.
“Menerusi tangkapan itu, kita turut merampas wang tunai RM30,000 serta beberapa telefon bimbit dan satu komputer riba,” katanya.
Tambah beliau, kesemua suspek kini direman 14 hari sehingga 20 Jun ini.
“Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 372(1)(e) Kanun Keseksaan, Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan dan Peraturan 7(1)(a) Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” katanya.
Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Imigresen 1959/63.
































