David Chan
KOTA KINABALU: Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) telah melantik David Chan sebagai Pengerusi negeri Sabah berkuat kuasa 10 Jun 2024.
Sebelum ini Chan adalah Presiden Persatuan Pengguna Bijaksana Pantai Barat Sabah.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada YPNM kerana memberi kepercayaan penuh kepadanya untuk menerajui sebagai Pengerusi YPNM Sabah yang baharu.
YPNM didaftarkan di bawah Jabatan Perdana Menteri dengan visi untuk melindungi kepentingan hak-hak pengguna Sabah dan bekerjasama dengan semua jabatan agensi kerajaan negeri, persekutuan dan dan sektor swasta di Sabah.
“Kerjasama antara Sabah dan Persekutuan adalah untuk menangani isu-isu kepenggunaan dalam memberi manfaat yang besar kepada pengguna-pengguna di negeri ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Chan berkata, selaku Pengerusi YPNM Sabah, beliau menyokong penuh penstrukturan semula subsidi minyak diesel.
YPNM Sabah juga mengucapkan kasih kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Diri Persekutuan (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana meneruskan pemberian subsidi diesel untuk wilayah Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata, Sabah yang begitu luas dengan jalan berbukit dan tidak menentu terpaksa menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan sudah tentu menggunakan minyak diesel yang banyak, termasuk bot-bot besar dan kecil, untuk menghubungkan kawasan di pedalaman Sabah.
Sementara itu, Chan meminta pihak berkuasa agar sentiasa memantau sebarang ketirisan minyak diesel bersubsidi yang diberikan kepada semua pengguna di Sabah supaya mereka boleh menikmati pemberian subsidi atas keprihatinan Perdana Menteri.
Terdahulu, KPDN meminta syarikat pengangkutan awam dan barangan yang layak tetapi belum memohon kelulusan subsidi diesel untuk segera berbuat demikian.
Armizan turut meminta syarikat berkenaan yang telah memperoleh kelulusan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) tetapi belum menerima fleet card daripada syarikat minyak agar menyimpan resit pembelian bahan api.


































