Dr. Dzulkefly Ahmad
SHAH ALAM: Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengumumkan pelan pembaharuan pembiayaan penjagaan kesihatan dalam masa terdekat bagi menambah baik sistem sedia ada di negara ini.
Menurut Utusan Malaysia, Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, agenda itu akan memfokuskan kaedah inovatif dan kreatif dalam membelanjakan bajet tahunan yang diumumkan kerajaan.
Katanya, Malaysia sebagai negara berpendapatan sederhana atas harus membelanjakan enam hingga tujuh peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan bukannya 5.1 peratus bagi sistem penjagaan kesihatan.
“Jika tidak mendapat sumber (dana) sepatutnya, saya akan memastikan kita menggunakan sumber sedia ada dengan kreatif dan inovatif.
“Pelan mengenai ‘reform’ (pembaharuan) itu akan saya kongsikan nanti kepada umum dalam waktu terdekat,” katanya ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah perluasan Hospital Pakar Avisena Shah Alam di sini, kelmarin.
Bangunan tambahan yang dijangka siap pada 2027 itu bakal menyediakan 275 katil, lebih 80 suite pakar, 10 dewan pembedahan canggih, satu dewan pembedahan hibrid dan perkhidmatan onkologi komprehensif.
Tambah Dzulkefly, KKM turut sedang berusaha mengoptimumkan penggunaan katil menerusi tawaran rawatan harian di hospital utama.
Katanya, ia turut melibatkan pendigitalan Unit Pengurusan Katil (BMU) secara berpusat melalui sistem Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) hospital.
“Inisiatif itu selaras dengan sasaran ditetapkan dalam Rancangan Malaysia ke-12 bagi meningkatkan nisbah dua katil untuk setiap 1,000 penduduk kepada 2.06,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menghargai usaha pihak Avisena yang memberi penekanan dan mencapai matlamat penjagaan kesihatan negara.
“Inisiatif menaik taraf kapasiti katil dan perkhidmatan khusus dijangka memberi sumbangan penting dalam meningkatkan akses dan kualiti penjagaan kesihatan rakyat.
“Projek itu merupakan contoh jelas kerjasama berkesan antara sektor awam dan swasta dalam memajukan infrastruktur termasuk kebolehcapaian rawatan bagi pesakit kanser dan khidmat sokongan paliatif,” katanya.


































