Raphael Varane (kiri) antara yang meninggalkan Manchester United selepas kontraknya berakhir.
LONDON: Manchester United melepaskan lapan pemain utama mereka menjelang musim baharu antaranya pemain Perancis, Anthony Martial dan Raphael Varane yang masing-masing kontrak telah berakhir bersama kelab itu.
Selain Martial dan Varane, pemain-pemain lain yang meninggalkan Old Trafford adalah Brandon Williams, Charlie McNeil, Marcus Lawrence, dan Kie Plumley, yang kini berstatus ejen bebas.
Menurut Utusan Malaysia, jurulatih skuad bawah 21 tahun, Tom Huddlestone, juga tidak akan bersama kelab lagi selepas kontraknya tidak diperbaharui.
Dalam pada itu, , Alvaro Fernandez telah disahkan tidak lagi bersama United selepas Benfica mengambil keputusan menjadikannya pemain tetap setelah dipinjamkan ke kelab Lisbon musim lalu.
Dua pemain veteran, Johnny Evans dan Tom Heaton, juga kini berstatus ejen bebas setelah kontrak mereka berakhir. Walau bagaimanapun, masih ada peluang untuk Evans dan Heaton kekal di Old Trafford memandangkan rundingan untuk kontrak baharu sedang berlangsung.
Pemain sayap berusia 19 tahun, Omari Forson, telah menandatangani kontrak baharu dengan kelab tersebut.
Martial, 28, meninggalkan kelab selepas sembilan tahun berkhidmat, dengan rekod 90 gol dalam 317 penampilan. Varane pula telah mengumpul 95 penampilan sepanjang tiga musim menyarung jersi United.
Ketika ini, belum dapat dipastikan siapa yang bakal membimbing Red Devils musim depan.
Walaupun menamatkan kempen Liga Perdana Inggeris di tempat kelapan, Erik ten Hag masih mampu membawa United ke Liga Europa dengan menjuarai Piala FA selepas mengejutkan Manchester City di Wembley.


































