Tangkap layar video kejadian anggota TLDM dibelasah penyokong di Stadium TLDM Lumut yang tular dalam media sosial.
LUMUT: Seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) cedera dibelasah sekumpulan lelaki dipercayai anggota Pasukan Khas Laut (PASKAL) ekoran salah faham dalam satu perlawanan bola sepak di Stadium TLDM Lumut, Isnin lalu.
Mangsa yang berusia 26 tahun mengalami kecederaan di bahagian muka, kepala, leher kiri dan rusuk kanan dan menerima rawatan di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Pangkalan TLDM Lumut.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 7.15 malam ketika mangsa sedang menyaksikan perlawanan bola sepak antara pasukan Markas Pangkalan TLDM dengan pasukan PASKAL.
“Secara tiba-tiba pihak penyokong pasukan PASKAL memukul pengadu beramai-ramai kerana tidak berpuas hati dan menuduh mangsa ada menunjukkan isyarat jari tengah kepada mereka.
“Pengadu mengatakan dia tidak ada membuat isyarat itu kepada penyokong pasukan lawan,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung pada pukul 12.53 tengah hari kelmarin.
Jelasnya, polis menyiasat kes itu di bawah Seksyen 17 Kanun Keseksaan kerana telah melakukan rusuhan dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Beliau meminta orang ramai tidak membuat spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian agar menghubungi Pegawai Penyiasat Sarjan Mohd. Nazari Yaakob di talian 017-5729646.


































