Pandikar Amin Mulia
KOTA KINABALU: Presiden USNO, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengingatkan Pengerusi Perhubungan UMNO, Datuk Seri Bung Moktar Radin bahawa ‘blunder’ yang dicetuskan oleh Tengku Datuk Fuad Ahmad di mahkamah itu sebenarnya berpunca dari tindakan Peguam Negara Malaysia yang mewakili Kerajaan Persekutuan yang membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang bersetuju dan memberikan kebenaran kepada SLS untuk memulakan tuntutan Semakan Kehakiman terhadap makna Artikel 112C dan 112D.
Katanya, yang amat memusykilkan beliau ialah seandainya Kerajaan Persekutuan mempunyai keiklasan dan kesungguhan untuk membantu rakyat Sabah, kenapakah hak-hak mereka yang dijamin dalam Perlembagaan Kerajaan Persekutuan di bawah Artikel 112D dan 112C tidak dipermudahkan segala pengurusannya.
Tetapi sebaliknya, apa yang dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan melalui wakilnya, Peguam Negara menidakkan hak ini dengan membuat rayuan, tambahnya.
“Pada saya, sekiranya Bung Moktar serius dengan saranannya iaitu mempertanggungjawabkan Ketua Menteri, Haji Hajiji Haji Noor dan jemaah menterinya atas ‘blunder’ peguam Tengku Fuad yang mewakili Kerajaan Negeri, Maka adalah ‘fair comment’ dan tidak salah kalau saya mengatakan bahawa tindakan Peguam Negara yang membuat rayuan kepada keputusan Mahkamah Tinggi itu adalah juga merupakan ‘pencabulan dan pengkhianatan’ kepada hak-hak rakyat Sabah yang dijamin oleh Artikel 112C dan Artikel 112D.
“Sehubungan dengan saranan Bung Moktar supaya Hajiji dan jemaah menterinya meletakkan jawatan atas sebab-sebab yang beliau nyatakan, maka, adalah juga ‘fair comment’ dan tidak salah kalau saya menyarankan supaya Menteri Undang-Undang, Datuk Seri Azalina Otman Said dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selaku pemimpin teratas UMNO meletakkan jawatan kerana mereka menidakkan hak-hak rakyat Sabah dengan sikap berdiam diri yang boleh disifatkan sebagai merestui tindakan Peguam Negera membuat rayuan kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.
“Demi untuk kepentingan rakyat Sabah, saya merayu kepada Bung Moktar supaya beliau secara terbuka membuat kenyataan media mendesak Menteri Undang-Undang Malaysia dan Timbalan Perdana Menteri Malaysia menasihati Perdana Menteri untuk menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang telah membenarkan SLS untuk memulakan proses Semakan Kehakiman berhubung dengan hak-hak rakyat Sabah di bawah Artikel 112C dan 112D,” katanya dalam kenyataan hari ini.
































