Fredian Gan
KOTA KINABALU: Pelaksanaan Jawatankuasa Kemajuan Desa Madani (JKDM) di Sabah memberi gambaran negative bahawa Kerajaan Pusat sendiri tidak mengotakan prinsip perpaduan yang ingin dicapai melalui konsep Kerajaan Madani, kata Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti Bersatu Sabah, Datuk Fredian Gan.
Kerana itu tambahnya, adalah wajar bagi Perdana Menteri membatalkan penubuhan JKDM di Sabah.
Menurut Fredian, penubuhan JKDM sebagai sebuah lagi jentera pentadbiran kampung juga bercanggah dengan Ordinan Pentadbiran Luar Bandar Cap 132.
“Penubuhan JKDM di Sabah secara unilateral oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah Persekutuan (KKDW) jelas membelakangi undang-undang negeri.
“Saya amat menyokong gesaan para pemimpin negeri ini termasuk Datuk Joniston Bangkuai, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri (KPKAS) yang juga Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang meminta agar Datuk Seri Fadillah Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri II yang juga menteri yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal Sabah dan Sarawak, supaya menilai semula kewajaran penubuhan JKDM yang dilihat akan menimbulkan kekeliruan dan perpecahan rakyat di peringkat kampung.
“Pemimpin lain seperti Datuk Seri Dr. Jeffry Kitingan, Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan dan juga Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Persekutuan (KUSKOP) juga telah menyuarakan bantahan mereka ke atas penubuhan JKDM kerana kesan ketara penubuhannya yang tidak menghormati Perlembagaan Negeri Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr. Jeffrey juga dilaporkan pada Selasa berkata, Kerajaan Negeri akan memaklumkan secara rasmi kepada Perdana Menteri bantahan terhadap pelaksanaan JKDM di Sabah apabila beliau datang ke Sabah untuk merasmikan penutupan Pesta Kaamatan pada 31 Mei.































