Polis menahan 13 individu disyaku terlibat dalam tawaran kerja dalam talian disyaku menyasarkan mangsa dari China dan United Kingdom.
PETALING JAYA: Seramai 13 individu disyaki terlibat kegiatan penipuan tawaran kerja dalam talian atau pusat panggilan, ditahan dalam serbuan di dua kondominium di Jalan Ceylon, Bukit Bintang dekat sini Selasa.
Serbuan pada pukul 8 malam itu dijalankan hasil risikan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, sebanyak 11 lelaki dan dua wanita warga asing berumur lingkungan 23 hingga 38 tahun ditahan dalam serbuan terbabit.
“Turut dirampas tujuh set komputer riba, telefon bimbit (21), dan sebuah modem.
“Siasatan awal mendapati sindiket telah beroperasi selama hampir satu bulan dan menyasarkan mangsa di United Kingdom dan China,” katanya dalam kenyataan kelmarin.
Menurutnya, kesemua tangkapan berperanan sebagai pegawai khidmat pelanggan.
Jelas beliau, semakan lanjut juga mendapati mereka tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
“Kesemua individu yang ditahan telah direman selama 3 hari mulai hari ini (kelmarin) hingga Jumaat bagi siasatan di bawah Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan,” katanya.
Tambah Dellhan, orang ramai diminta memberi kerjasama dan menyalurkan maklumat tentang sebarang kegiatan menyalahi undang-undang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di talian 03-26002222 atau mana-mana Balai Polis berhampiran.
































