JERANTUT: Polis Jerantut sudah mengenal pasti wanita yang mendakwa dirinya sebagai Imam Mahdi yang tular di media sosial Jerantut Viral dan Info Rakyat Dalam Kelantan (IRDK) menerusi penghantar bernama Nor Farizan Shaari.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Zukri Muhammad berkata, hasil siasatan polis, suspek berkenaan, Siti Fatini Nabilah Mat Yusoff berusia 34 tahun bekerja sebagai guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jerangsong, di sini.
“Wanita berkenaan sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak yang tinggal Nombor 3, Lorong SM 5, Taman Seri Makmur, Jerantut.
“Hasil siasatan juga mendapati suami suspek yang dikenali sebagai Muhd. Hanif kini tinggal di Kuala Lumpur bekerja sebagai Traffic Management Officer (TMO), Lebuh Raya DASH Kuala Lumpur, ” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini.
Menurut Zukri, maklumat awal yang diterima polis, suspek mempunyai masalah mental dan rekod perubatan juga menunjukkan wanita berkenaan pernah mendapatkan rawatan sebagai pesakit Psikiatri di Unit Psikologi Kaunseling, Hospital Tanah Merah, Kelantan sejak 16 November 2023.
Beliau berkata, penghantar (Nor Farhan Shaari) menyentuh isu berkaitan seorang guru perempuan di SJKC Jeransong, Jerantut yang mengaku dirianya Imam Mahdi.
Katanya, penghantaran yang dimuat naik menerusi dua laman sosial tersebut menyebut suspek dipilih oleh Allah SWT untuk membimbing umat Muhammad dan menggelarkan dirinya sebagai mujaddid yang diamanahkan untuk menghentikan peperangan di Palestin.
Dakwa suspek itu, Allah telah pusing fakta mengatakan Imam Mahdi adalah seorang lelaki, tetapi hakikatnya perempuan.
“Difahamkan kes tersebut tercetus akibat perbalahan dengan beberapa orang sahabat suspek berkaitan perkara melibatkan dalaman keluarga serta beberapa hal peribadi yang lain.
“Oleh sebab itu suspek telah berasa tertekan dengan tohmahan dan fitnah sahabat suspek berkaitan tuduhan dianggap tidak berasas dengan menghantar beberapa posting melibatkan pengakuan bahawa dirinya sebagai Imam Mahadi,” katanya.
Zukri menambah, suspek juga mengaku tiada sebarang rujukan atau belajar daripada mana-mana guru agama atau orang perseorangan dan hanya mengaku dirinya terpilih (terbuka hijab) untuk memiliki ‘Ilmu Allah’ dan diangkat darjatnya oleh Allah kerana beliau seorang yang jujur.
Beliau berkata, isu yang melibatkan suspek wanita itu yang dikatakan mengaku sebagai seorang mujaddid serta Imam Mahdi adalah ekoran terdapat beberapa artikel milik suspek yang dimuatnaik oleh Nor Farizan Shaari di laman Facebook beliau.
Zukri menjelaskan suspek yang masih bertugas di SJKC Jerangsong merupakan seorang yang mempunyai masalah tersendiri serta penyakit mental kini masih menerima rawatan di unit psikiatri.
“Diharapkan isu tersebut tidak perlu diperbesarkan dan tindakan susulan telah dibuat oleh Pejabat Agama Daerah Jerantut sebagai langkah pencegahan serta pemulihan,” ujarnya.
































