Joniston menyertai upacara memotong kek bagi meraikan warga emas semasa pelancaran Pesta Kaamatan Kampung Tomis Baru.
KOTA KINABALU: Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah bertanya sama ada Jawatankuasa Kemajuan Desa Madani (JKDM) hanya untuk negeri yang ada Umno.
ADUN Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai berkata, beliau mengemukakan soalan itu kerana belum ada pengumuman mengenai JKDM dilebarkan ke Sarawak.
“Persoalan ini harus dijawab kerana terdapat persepsi umum bahawa ia lebih bertujuan untuk kepentingan politik yang memihak kepada Umno yang menunggang konsep Madani,” katanya.
Beliau berkata, mungkin Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof yang bertanggungjawab terhadap Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, boleh melihat pandangan rakyat Sabah, termasuk beberapa pemimpin utama Sabah, yang tidak bersetuju dengan penubuhan JKDM di Sabah.
“Nasib baik kita ada dua Timbalan Perdana Menteri, dan seorang dari Sarawak, yang juga bertanggungjawab dalam Hal Ehwal Sabah dan Sarawak. Jika JKDM tidak diperlukan di Sarawak, mungkin beliau (Fadillah) juga harus meneliti situasi yang sama di Sabah, memandangkan keadaan politik yang sama.
“Tetapi saya percaya kepadanya, dia akan mendengar pandangan kami. Sebagai rakyat Malaysia Timur, kami bergantung kepada beliau untuk mempertimbangkan perasaan rakyat Sabah,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Pesta Kaamatan Kampung Tomis Baru di sini, hari ini.
Pemimpin Sabah terus mempersoalkan langkah Putrajaya untuk menubuhkan JKDM, dengan menegaskan bahawa badan serupa sudah wujud.
Timbalan Ketua Menteri I dan Presiden STARSABAH, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan mengumumkan kelmarin bahawa Kerajaan Negeri secara rasmi akan mengemukakan bantahannya dan juga menyampaikan pendiriannya mengenai JKDM kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila beliau tiba di Sabah untuk merasmikan penutupan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2024 pada 31 Mei.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Presiden Upko, Datuk Ewon Benedick baru-baru ini mendedahkan bahawa beliau telah menyuarakan bantahannya terhadap penubuhan JKDM semasa mesyuarat Kabinet.






























