KOTA KINABALU: Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kesemua presiden parti komponen GRS secara sebulat suara menerima PCS menjadi komponen GRS.
Mengumumkan ini dalam kenyataan hari ini, Masidi berkata, PCS yang diketuai oleh Senator Tan Sri Anifah Aman sebagai Presiden telah membuat permohonan secara rasmi untuk menyertai GRS.
“Penyertaan PCS, sebuah parti lokal merupakan satu langkah penting dalam mengukuhkan lagi kesatuan dan perpaduan politik di Sabah.
“Kami percaya bahawa dengan kerjasama yang lebih erat, kita dapat mencapai matlamat bersama untuk membangunkan negeri Sabah ke arah yang lebih makmur dan sejahtera.
“Selari dengan prinsip Sabah First, GRS kini semakin kukuh dan bersedia untuk menghadapi sebarang cabaran demi memastikan kesejahteraan dan kemakmuran Sabah tercapai.
“Kami berharap agar rakyat Sabah memberikan sokongan padu kepada GRS dalam usaha kita untuk membina masa depan yang lebih cerah dan sejahtera untuk semua,” kata Masidi.
GRS yang didaftarkan secara rasmi pada 11 Mac, 2022 sebelum ini terdiri daripada Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STARSABAH), Parti Maju Sabah (SAPP), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) dan Liberal Democratuc Party (LDP).





























