PETALING JAYA: Polis menjalankan siasatan berhubung surat ugutan diterima Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok beserta dua butir peluru, Sabtu.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, satu laporan diterima pihak polis berhubung kejadian kira-kira pukul 9 malam pada 18 Mei lalu.
Kata beliau, hasil siasatan awal pihak polis mendapati sampul surat yang dikirim mengandungi sekeping nota berbentuk amaran beserta dua butir peluru.
“Kes disiasat dibawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menakutkan secara jenayah dengan jalan perhubungan sembunyi nama,” katanya dalam kenyataan.
Kata beliau, kes masih di peringkat siasatan dan pihak polis memandang serius perkara ini dan menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
Kata beliau, sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Terdahulu, menerusi hantaran di media sosial, pemimpin DAP itu memaklumkan menerima ancaman yang diletakkan dalam peti surat di kediamannya.
































