Fahmi Fadzil
PETALING JAYA: Kerajaan menyediakan pakej khas langganan internet jalur lebar talian tetap berkelajuan tinggi untuk dilanggan setiap sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mulai 1 Julai ini.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pakej khas melalui pelaksanaan projek Point of Presence (PoP) itu bakal menawarkan internet berkelajuan tinggi yang stabil dengan harga rendah berbanding talian mudah alih.
“Perincian mengenai pakej itu akan diumumkan mulai 1 Julai. Sebanyak 10,000 sekolah di bawah KPM, akan dapat memilih pakej internet lebih laju dan lebih murah.
“Kerajaan berharap infrastruktur telekomunikasi yang disediakan dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh rakyat khususnya di Sabah untuk meningkatkan taraf hidup, melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP), serta menerokai gaya hidup baharu yang lebih berkualiti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program tinjauan PoP di Menara Balimbang, Sekolah Kebangsaan Balimbang, Pulau Bum Bum, hari ini.






























