Operasi mencari dan menyelamat seorang pemancing yang dikhuatiri lemas di Tasik Pedu, Kuala Nerang di Padang Terap.
PADANG TERAP: Seorang kaki pancing yang terselamat dalam kejadian bot terbalik akibat ribut di Tasik Pedu, di sini semalam terpaksa berpaut pada tunggul kayu lebih sejam sebelum diselamatkan tekong bot lain.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, lelaki berusia 55 tahun terbabit bersama rakannya berusia 41 tahun yang masih hilang terjatuh ke dalam tasik selepas bot dinaiki dibadai alun air tasik yang kuat.
Menurut Utusan Malaysia, Ismail Abdullah, 39, berkata, ketika kejadian dia membawa dua pemancing lain ke tasik tersebut sebelum berlindung berhampiran sebuah pulau di situ kerana ribut.
“Angin kencang melanda kawasan tasik ini selama hampir sejam sebelum saya menerima makluman menerusi WhatsApp bahawa ada sebuah bot dikhuatiri hilang.
“Secara kebetulan, saya ternampak seorang lelaki sedang berpaut pada tunggul kayu di tengah kawasan tasik yang lapang sambil melambai-lambai ke arah saya,” katanya ketika ditemui di Tasik Pedu, di sini hari ini.
Katanya, dia terus menghampiri dan menaikkan mangsa yang didapati dalam keadaan lemah ke dalam bot.
“Dia tidak cakap banyak kerana terlalu lemah dan hanya menunjukkan isyarat bahawa dia nampak rakannya terkapai-kapai di dalam tasik. Bot mangsa didapati hanyut tiga kilometer dari lokasi kejadian,” ujarnya.
Menurutnya, kedua-dua mangsa didapati memancing tanpa menggunakan khidmat tekong dan bot terbalik dipukul ribut kerana mereka berada di kawasan tasik yang lapang.
“Sebagai tekong, kami akan berlindung berhampiran pulau apabila mendapati awan bertukar hitam kerana air tasik ini akan beralun kuat setiap kali berlaku angin kencang,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Penguasa Kanan Bomba 1 Ahmad Aminudin Abd. Rahim berkata, operasi mencari mangsa berdepan cabaran berikutan kedalaman tasik mencapai sehingga 40 meter, selain mempunyai banyak tunggul kayu di dasar.






























