Haji Hajiji Haji Noor
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah secara tegas mengesahkan bahawa ia tidak akan melepaskan hak asasi perlembagaan Negeri Sabah berhubung pemberian khas 40 peratus Hasil Bersih di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, perkara ini diperkukuhkan dalam ucapan Belanjawan 2023 di mana Perdana Menteri telah mengakui dan mengesahkan bahawa Kerajaan Persekutuan komited untuk meningkatkan kadar Pemberian Khas berbanding dengan apa yang telah dipersetujui sebelum ini dan akan mempercepatkan rundingan untuk mencari jalan penyelesaian.
Hajiji menjelaskan, isu kritikal ini masih dibincangkan dalam Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri.

Pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bertemu dengan Ketua Menteri sebagai tanda solidariti dalam hal berkaitan 40 peratus geran khas hasil bersih di Seri Gaya hari ini. (Dari kiri: Presiden LDP Datuk Chin Su Phin, Pemangku Presiden PBS Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, Presiden StarSabah Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, Presiden PGRS/Pengerusi GRS Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor, Presiden SAPP Datuk Seri Yong Teck Lee, Presiden Usno Tan Sri Pandikar Amin dan Timbalan Presiden PGRS Datuk Seri Masidi Manjun.
“Kerajaan Negeri Sabah akan terus mempertahankan hak-hak perlembagaan Negeri Sabah berkaitan dengan formula perkongsian hasil yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan dan perkara ini harus dihormati oleh Kerajaan Persekutuan. Ini juga termasuk tuntutan Negeri Sabah untuk “lost years” di mana tiada kajian semula dibuat dari tahun 1974 hingga kini.
“Setakat ini, terdapat penyelesaian interim (tanpa prejudis) di mana Negeri Sabah menerima amaun Pemberian Khas yang lebih banyak daripada sebelum ini sementara menunggu rundingan lanjut antara kedua-dua pihak. Sementara menunggu rundingan yang sedang dijalankan, jumlah penyelesaian interim untuk Pemberian Khas telah meningkat daripada RM125.6 juta pada tahun 2022 dan daripada RM260 juta yang diumumkan pada Januari 2023 kepada RM300 juta pada Julai 2023. Walaupun penyelesaian interim terhadap Pemberian Khas ini adalah kurang daripada apa yang dijangkakan – Kerajaan Negeri Sabah akan terus komited dan konsisten dalam menuntut untuk mendapatkan nilai Pemberian Khas yang lebih tinggi daripada Kerajaan Persekutuan berbanding sebelum ini.
“Dalam masa yang sama, saya ingin menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri Sabah menghormati hak Sabah Law Society untuk memulakan prosiding mahkamah mengenai perkara ini. Kerajaan Negeri Sabah mengakui peranan penting litigasi kepentingan awam dalam memartabatkan kedaulatan undang-undang ke arah pentadbiran yang adil dan saksama.
“Kerajaan Negeri melihat inisiatif oleh SLS daripada sudut positif yang tidak berpihak dan tidak berpolitik dalam kepentingan bersama aturan perlembagaan ketika Sabah terlibat dalam pembentukan Malaysia pada 1963. Saya tidak mahu membuat kesimpulan awal mengenai keputusan Mahkamah Rayuan tetapi saya berkongsi sentimen rakyat Sabah dan berharap sebarang keputusan akan memihak kepada Negeri Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, menjelaskan pendirian rasmi Kerajaan Negeri Sabah berhubung hak perlembagaan untuk menuntut 40 peratus hasil bersih daripada Kerajaan Persekutuan.
Hajiji berkata, beliau telah mengarahkan Peguam Besar Negeri Sabah untuk meneliti dan menyemak prosiding undang-undang yang sedang berjalan dan jika perlu, untuk membetulkan sebarang kenyataan yang salah dan berbeza daripada kedudukan jelas dan rasmi Kerajaan Negeri Sabah.
“Walaupun prosiding sedang berlangsung di Mahkamah Rayuan, Kerajaan Negeri Sabah tetap dengan pendirian untuk mengekalkan tuntutan Kerajaan Negeri Sabah bahawa Kerajaan Persekutuan mempunyai kewajipan secara perundangan dan berperlembagaan untuk melaksanakan hak-hak Negeri Sabah dengan membayar Pemberian Khas seperti apa yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan sama ada dari segi sejarah mahupun pada masa yang akan datang. Hak Negeri Sabah ini telah dirundingkan sebelum pembentukan Malaysia dan terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan. Pendirian ini adalah hak kewangan Negeri Sabah dan bukan sekadar aspirasi.
“Sekiranya tiada persetujuan atau penyelesaian antara Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Persekutuan mengenai nilai Pemberian Khas, Kerajaan Negeri Sabah akan melantik penaksir bebas bagi menentukan isu ini dan memutuskan apa yang Kerajaan Persekutuan wajib bayar kepada Sabah selaras dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Saya memberi jaminan kepada rakyat Sabah bahawa Kerajaan Negeri Sabah tidak akan berhenti dalam usaha untuk mendapatkan semua hak Negeri Sabah yang termaktub di bawah MA63 dan Perlembagaan Persekutuan.
“Ini adalah kedudukan tegas dan tanpa kompromi Kerajaan Negeri Sabah,” katanya.






























