Fahmi Fadzil
PUTRAJAYA: Jemaah Menteri hari ini merakamkan ucapan tahniah kepada Lawrence Wong atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri baharu Singapura.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, ucapan itu disampaikan Jemaah Menteri pada mesyuarat Kabinet dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Mesyuarat Kabinet hari ini (kelmarin) dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri dan dalam perutusan beliau mewakili Jemaah Menteri, kami mengucapkan ucapan tahniah kepada Perdana Menteri Singapura yang baharu, Lawrence Wong yang akan angkat sumpah pada malam ini.
“Ini akan disusuli dengan ucapan tahniah daripada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) tetapi Jemaah Menteri mengucapkan tahniah di atas pelantikan beliau,” katanya dalam sidang akhbar, di sini kelmarin.
Selepas hampir dua dekad Lee Hsien Loong berkhidmat sebagai Perdana Menteri Singapura, republik itu melantik Lawrence Wong sebagai Perdana Menteri baharu kelmarin.
Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Lawrence, 51, menggantikan Hsien Loong, 72, yang sudah berkhidmat sebagai Perdana Menteri sejak 2004 dan upacara angkat sumpah itu akan berlangsung pada pukul 8 malam ini di Istana Singapura.






























