KUALA LUMPUR: Lima anggota polis termasuk seorang pegawai didakwa di Mahkamah Sesyen di sini kelmarin atas pertuduhan merompak seorang wanita warganegara China di sebuah apartment melibatkan wang tunai RM140,000, bulan lalu.
Menurut Utusan Malaysia, empat tertuduh iaitu Khairil Annuar Sulaiman, 39, Mohd. Zaidi Jamaludin, 35, Mohd. Adrafil Adlan Roslan, 28, Ahmad Rohafiz Abdul Rani, 39, berpangkat koperal manakala seorang lagi Mohd. Faizol Ismail, 41, berpangkat Asisten Superintendan.
Bagaimanapun, kesemua mereka mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hamidah Mohamed Deril.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan rompak berkumpulan terhadap Zhang Chenxuan di sebuah unit apartment di Jalan Tun Razak, Wangsa Maju di sini pukul 5.30 petang pada 6 April lalu.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Muhairi Mohamed Noh menawarkan jaminan RM20,000 dengan dua penjamin berserta syarat tambahan pasport tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah selain dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Bagaimanapun peguam Gurmukh Singh Sandhu yang mewakili empat tertuduh iaitu Khairil Annuar, Mohd. Zaidi, Ahmad Rohafiz dan Mohd. Faizol memohon jaminan rendah dengan alasan kesemua anak guamnya menanggung keluarga.
Sementara itu, peguam Shah Rizal Abdul Manan yang mewakili Mohd. Adrafil Adlan turut memohon jaminan rendah kerana anak guamnya menjaga ibu bapanya dan masih belum berkahwin.
Selepas mendengar permohonan dan makluman kedua-dua belah pihak, mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah menetapkan 20 Jun ini untuk sebutan kes.






























