SHAH ALAM: Kertas siasatan berhubung penemuan bagasi berisi wang tunai berjumlah RM500,000 akan dirujuk kepada Bukit Aman dalam masa terdekat.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, langkah tersebut adalah bertujuan sebagai rujukan perundangan sebelum ia diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
“Kita lengkapkan siasatan dan akan rujuk kepada Bukit Aman terlebih dahulu sebabnya individu yang mendakwa wang di dalam bagasi tersebut tidak boleh memberikan satu bukti kukuh sumber wang itu.
“Jadi, kita perlu rujuk kepada Bukit Aman untuk pandangan perundangan sebelum kertas diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya,” katanya pada sidang akhbar selepas Townhall Discussion Polis Kontinjen Selangor 2024, kelmarin.
Jelasnya, setakat ini hanya seorang sahaja iaitu pengarah syarikat kayu balak yang mendakwa wang berjumlah RM500,000 adalah miliknya.
“Kita merakam keterangan empat orang saksi bagi kes tersebut. Selain itu, terdapat antara lapan hingga sembilan keterangan termasuk daripada individu yang menemui bagasi wang tersebut telah diambil bagi melengkapkan kertas siasatan,” jelasnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan pemilik sebenar bagasi berisi wang tunai kira-kira RM500,000 yang dijumpai di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah di Damansara dekat sini seja dua bulan lalu masih menjadi misteri.
Bagasi berwana merah jambu dan putih itu ditemukan seorang pengawal keselamatan kira-kira pukul 8 pagi, 20 Mac lalu.
Susulan penemuan beg itu, polis meminta pemilik beg berkenaan supaya tampil ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Subang Jaya bersama bukti berkaitan bagi mengesahkan wang tersebut.
Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Hussein memaklumkan dua individu ditahan berhubung kes seorang peniaga yang dibunuh ala mafia dekat Taman Jaya di Kapar, Klang pada bulan lalu.
Menurutnya, insiden tersebut mempunyai kaitan dengan kongsi gelap dan salah seorang daripada suspek sudah pun dituduh di bawah Akta Pertubuhan.
“Insiden itu, saya boleh katakan melibatkan aktiviti kongsi gelap. Kita sedang mengesan dua lagi suspek yang telah dikenalpasti bagi membantu kes tersebut. Pengesanan dua suspek itu akan dilakukan sama ada dia masih dalam negeri atau luar negara.”






























