Fadhlina Sidek
KUANTAN: Kementerian Pendidikan sentiasa bersiap siaga bagi menghadapi Monsun Barat Daya yang dijangka bermula Jumaat ini dan akan berterusan sehingga September.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kementerian itu sudah pun menyediakan garis panduan yang perlu diikuti semua jabatan pendidikan negeri.
Beliau berkata, autonomi turut diberikan kepada setiap sekolah dalam membuat keputusan tentang aktiviti, pemakaian dan nasihat kepada murid.
“Insya-Allah kesiapsiagaan kita ada dan saya ingin mengingatkan kepada semua jabatan pendidikan negeri mematuhi garis panduan yang disediakan,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Anugerah Hari Guru 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah (SASICC) di sini hari ini.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata, Kementerian Pendidikan berada pada landasan tepat untuk melonjakkan pendidikan digital termasuk dalam meningkatkan infrastruktur dan infostruktur digital seluruh negara.
Beliau berkata, kerjasama dengan pelbagai kementerian termasuk Kementerian Komunikasi dan Digital turut dilakukan dalam melonjakkan pendidikan digital tersebut.
“Jadi apa yang kita perkukuhkan termasuk infrastruktur dan infostruktur dan yang kedua persiapan guru kompetensi yang kita bagi tumpuan penuh.
“Ketiga ialah melonjakkan kapasiti penggunaan dan juga keupayaan Pelantar Delima yang saya fikir perlu diberikan tumpuan semua pihak kerana ia bukan sahaja untuk guru tetapi juga anak-anak murid kita,” katanya.
Tambahnya, pada masa ini pihaknya sedang meningkatkan semua infrastruktur khususnya penambahbaikan pusat kegiatan guru supaya murid-murid dan para guru mendapat akses internet.


































