Fahmi Fadzil
PUTRAJAYA: “Jika ada aduan dan laporan, boleh kemukakan kepada pihak berkuasa dan badan penguatkuasaan untuk tindakan selanjutnya.”
Menurut Utusan Malaysia, itu reaksi Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil susulan dakwaan ada salah guna kuasa membabitkan pimpinan tertinggi perkhidmatan awam termasuk Ketua Setiausaha Negara, Ketua Setiausaha Kementerian (KSU) dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di platform X.
Ditanya sama ada kerajaan mengambil maklum berhubung tuduhan itu, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, isu berkenaan tidak dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
“Tapi secara lazimnya, siapa yang ada aduan atau maklumat mengenai perkara ini boleh buat aduan kepada badan penguatkuasaan untuk diambil tindakan mengikut lunas undang-undang,” katanya.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, isu itu juga tidak pernah dibangkitkan dalam mana-mana mesyuarat Jemaah Menteri sebelum ini.
Bagaimanapun, katanya, sekiranya ada aspek penyiasatan, pihak pentadbiran atau eksekutif tidak mencampuri urusan itu.
“Kalau ada laporan polis atau laporan kepada mana-mana badan penguatkuasaan, kita serah kepada badan itu untuk siasatan. Kita (kerajaan) tidak akan campur tangan,” katanya.
Sebelum ini, tular beberapa hantaran oleh pengguna platform X, @zeyhnnnn yang mendakwa wujud kartel perkhidmatan awam melibatkan pimpinan tertinggi seperti ketua setiausaha.


































