PETALING JAYA: Seorang penunggang motosikal yang cedera terkena benang di Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dekat Taman Kosas Ampang, tampil membuat laporan polis hari ini.
Menurut Utusan Malaysia, Mohammad Muas Rosdi, 28, berkata, laporan dibuat di Balai Polis Trafik Ampang Jaya untuk siasatan lanjut.
Juruteknik Teknologi Maklumat (IT) itu berkata, dia mahu siasatan dijalankan bagi mengetahui sama ada benang itu sengaja diletakkan individu tidak bertanggungjawab atau terputus daripada layang-layang di kawasan berhampiran.
Katanya, dalam kejadian pukul 6.30 petang kelmarin, dia dalam perjalanan pulang bekerja dari Kepong ke rumahnya di Kajang dengan menunggang motosikal.
“Semasa melalui Lebuhraya SUKE selepas susur Hulu Langat, secara tiba-tiba motosikal saya melanggar benang hitam yang melintang di lebuh raya.
“Benang itu terputus dan turut terkena beberapa motosikal lain sebelum diterbangkan angin. Ketika itu saya menyangka hanya jari yang cedera dan meneruskan perjalanan seperti biasa.
“Namun selepas itu saya berasa kebas pada muka lalu berhenti di bahu jalan dan melihat dagu sudah terbelah,” katanya di sini.
Berikutan itu, Mohammad Muas berkata, dia mendapatkan rawatan di sebuah klinik berhampiran dan pegawai perubatan memberitahu luka kecederaannya agak dalam.
Katanya, dia membuat laporan kepada pihak Lebuhraya SUKE mengenai kejadian itu dan diminta hadir ke pejabat mereka untuk siasatan lanjut.
“Ahli Dewan Undangan Negeri Lembah Jaya, Yang Berhormat (YB) Altimet (Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad) pun dah hubungi saya bertanya mengenai kejadian dan polis turut hubungi saya untuk siasatan.
“Ada yang DM (mesej langsung) beritahu ia mungkin tali daripada layang-layang terputus kerana terdapat kumpulan individu yang sering bermain layang-layang di kawasan berhampiran,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail mengesahkan menerima laporan daripada mangsa dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Media semalam melaporkan, polis mengesan hantaran mengenai kejadian itu di aplikasi sosial X dan meminta mangsa tampil membuat laporan.


































