Dr Dzulkefly Ahmad
PUTRAJAYA: Kerajaan sedang mempertimbang untuk memasukkan pemberian vaksin influenza dalam Program Immunisasi Kebangsaan (NIP) khusus untuk golongan warga emas.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, program vaksinasi itu akan dipertimbangkan untuk dilaksanakan pada tahun depan memandangkan warga emas mudah terdedah dengan risiko jangkitan itu.
“Saya harap mungkin untuk tahun depan, dalam Bajet 2025 atau seterusnya, kita akan mohon untuk dimasukkan dalam NIP khusus untuk golongan warga emas,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Sambutan Hari Imunisasi Peringkat Kebangsaan dan National Immunization Summit 2024, di sini kelmarin.
Kata beliau, pihaknya akan memohon perkara itu kerana sedar akan keberkesanan dan manfaatnya terutama kepada golongan rentan.
Dr Dzulkefly berkata, hanya satu dos akan diberikan untuk tempoh sekali setahun.
“Vaksin ini akan diberikan setiap tahun kerana virus ini sentiasa bermutasi dan berubah malah, vaksin itu juga perlu sentias ditambah baik sentiasa,” katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Dr Dzulkefly berkata, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak terpengaruh dan leka dengan dakyah salah tentang vaksin.
Menurutnya, pihaknya akui ada penyelewengan maklumat dan fakta yang dipropagandakan oleh ideologi anti-sains, yang pada mulanya menular di barat, tapi kini menjadi fenomena global.
“Akibatnya, ramai ibu bapa telah memilih untuk menafikan vaksin kepada anak-anak mereka. Ini telah menyebabkan kes-kes seperti difteria dan polio timbul kembali dari semasa ke semasa, sehingga membahayakan kesihatan awam,” katanya.


































