Lima kanak-kanak dan seorang remaja yang terperangkap di atas batu susulan kejadian kepala air di Sungai Batang Labu, Batu 9, Kampung Tebing Tinggi, Nilai, Seremban, diselamatkan anggota bomba petang kelmarin.
SEREMBAN: Lima orang kanak-kanak dan seorang remaja berusia 17 tahun diselamatkan anggota bomba selepas mereka terperangkap dalam kejadian kepala air di Sungai Batang Labu, Batu 9, Kampung Tebing Tinggi, Nilai di sini petang kelmarin.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 5 petang itu melibatkan kanak-kanak berusia antara 10 hingga 17 tahun.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Nilai, Komander Operasi, Bakarya Mohd. Salleh berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) negeri menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 5.09 petang .
“Sebuah jentera bersama unit Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dengan keanggotaan seramai tujuh pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Nilai dan dibantu tiga anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pelegong terus bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.
“Sebaik tiba, terdapat enam mangsa telah terperangkap di atas batu sungai ketika air sungai yang mengalir deras.
“Kerja-kerja penyelamatan ke atas mangsa terus dilakukan dengan menggunakan teknik penyelamatan high line technique untuk membawa mereka ke tempat selamat dengan menggunakan peranti pengapungan peribadi (PFD),”katanya ketika dihubungi kelmarin.
Katanya, kesemua mangsa lelaki yang berusia 10 hingga 17 tahun itu berjaya diselamatkan pada pukul 6.40 petang.
“Kesemua mangsa terlibat kemudiannya telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan. Operasi kemudian ditamatkan pada pukul 7.09 petang,” katanya.































