PETALING JAYA: Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) menyasarkan potensi pembiayaan sebanyak RM50 juta bagi memperkukuh industri francais di Pulau Pinang, Pahang dan Sabah melalui program Bizfrancais pada tahun ini.
Pada tahun lalu, Pernas telah memperuntukan sebanyak RM25.23 juta kepada usahawan-usahawan terpilih di bawah program itu di tiga negeri berkenaan.
Menurut Utusan Malaysia, Pernas berkata, untuk Sarawak sahaja, pihaknya menyasarkan potensi pembiayaan sebanyak RM4 juta tahun ini bagi memperkukuh industri francais negeri itu.
“Pernas telah membiayai lebih RM10 juta kepada usahawan Sarawak di mana lebih daripada 15 jenama francais dan pra-francais tempatan telah dibangunkan sejak 2004,” katanya dalam kenyataan.
Pernas berkata, program kolaborasi bersama Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak itu merupakan lokasi pertama bagi sisi jelajah Program Bizfrancais tahun ini.
Jelasnya, sejak diperkenalkan pada 2019, Pernas telah menganjurkan lebih 20 siri program berkenaan di pelbagai negeri termasuk Perak, Kedah, Kelantan, Johor, Sabah dan Sarawak.
Dalam pada itu, bercakap pada majlis perasmian program itu di Kuching, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (Pembangunan Usahawan), Datuk Dr. Ripin Lamat berkata, Bizfrancais Sarawak 2024 adalah program bersama pihaknya dengan Pernas.
“Program merupakan inisiatif berterusan kerajaan negeri dalam memperkasa keusahawanan francais di negeri Sarawak selaras dengan matlamat kementerian dalam melahirkan usahawan belia unggul menjelang 2030,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar Bahagian Pembangunan Francais Pernas, Mazlan Ibrahim pula berkata, program turut bermatlamat meningkatkan pertumbuhan ekonomi, menjana pendapatan sambil mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan terutama bidang francais di Sarawak.