Anwar Ibrahim berucap di sambutan ulang tahun ke-25 penubuhan PKR di Sentul Depot, malam tadi.
KUALA LUMPUR: PKR akan terus mempertahankan prinsip Perlembagaan termasuk hak setiap rakyat di negara ini.
Menurut Utusan Malaysia, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Islam merupakan agama rasmi, tetapi hak setiap rakyat perlu dihormati sekiranya Malaysia mahu mencapai kejayaan.
“Mana boleh di Malaysia, majoriti Islam, tetapi nak nafikan hak Cina, India, Dayak, Iban, Kadazan atau Dusun untuk tetap mewakili.
“Keadilan (PKR) akan tetap mempertahankan prinsip Perlembagaan dan dalam menjamin negara ini aman dan berjaya, setiap suku kaum mesti mendapat perwakilan yang adil,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap dalam sambutan ulang tahun ke-25 penubuhan parti itu di Sentul Depot, di sini malam tadi.
Anwar berkata, golongan Melayu dan bumiputera tidak miskin dan ketinggalan sekiranya negara adil serta memberikan hak dan perwakilan kepada semua.
“Sebab itu walaupun kita diserang bertubi-tubi kerana mainan sentiman kaum agama yang sempit, kita tidak akan berganjak,” katanya.
Terdahulu, Anwar berkata, PKR akan sedaya upaya membawa perubahan dan agenda reformasi.
Katanya, ia terutamanya dalam menegakkan keadilan, kebebasan badan kehakiman serta menolak rasuah dan penyelewengan kuasa.
Justeru, beliau menzahirkan rasa syukur kerana dapat mengasaskan satu Kerajaan Perpaduan bersama parti lain bagi melakukan perubahan dan mengangkat ekonomi serta pertumbuhan negara.
“Rakan-rakan yang mengasas sudah tidak bersama kita, sudah meninggal atau keuzuran, jadi jangan lupa mereka berjuang tanpa habuan dan kedudukan, semata-mata pengorbanan.
“Saya harap generasi baharu tidak akan melupakkan jasa mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, dasar luar yang bebas dan merdeka akan tetap dipertahankan.
Menurutnya, hubungan negara dengan negara barat seperti Amerika Syarikat dan Eropah harus terus diperkukuh, manakala hubungan dengan negara Cina, Jepun dan Korea harus terus dipertingkat.
“Selain itu, satu perkara amat melukakan mutakhir ini ialah penerusan kekejaman Israel terhadap Gaza.
“Seruan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hampir tidak mempedulikan.
“Bagi pihak rakyat, saya berharap bahwa keadilan, kebebasan pulih dan penjajahan dihapuskan supaya rakyat Palestin mendapat hak sebagai manusia negara moden yang merdeka,” katanya.
































