Anthony Loke Siew Fook menunjukkan NPI siri FFF yang dilancarkan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari JPJ Ke-78 di Akademi Pengangkutan Jalan, Ayer Molek, Melaka.
MELAKA: Kementerian Pengangkutan tidak pernah membenarkan mana-mana penyedia perkhidmatan e-hailing menggunakan sistem bidaan harga kepada penumpang.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah diarahkan menyemak sistem yang mula digunakan pemandu e-hailing pada waktu ini.
“JPJ tidak pernah menyediakan aplikasi perkhidmatan e-hailing dan perkara ini perlu dirujuk kepada APAD untuk lihat perkara ini, sebab memang kita tidak dimaklumkan lagi.
“Saya akan minta APAD untuk lihat perkata itu dan setakat ini memang tidak ada apa-apa yang kita benarkan lagi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Ulang Tahun Hari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Ke-78 di Akademi Pengangkutan Jalan, Ayer Molek di sini, hari ini.
Anthony berkata demikian ketika ditanya tindakan kementerian terhadap kewujudan aplikasi e-hailing dengan menggunakan sistem bidaan yang semakin menjadi pilihan ketika ini.
Melalui aplikasi itu, pemandu e-hailing boleh meletakkan harga bagi sesuatu jarak perjalanan sebelum dibida pelanggan.
Bagaimanapun, kaedah sedemikian menimbulkan pelbagai persepsi dalam kalangan pengguna apabila ada yang berpendapat, ia memaksa penumpang membayar harga lebih tinggi.
Sementara itu, Anthony berkata, JPJ mengeluarkan nombor pendaftaran istimewa (NPI) siri FFF sebagai tanda signifikan sempena Sambutan Hari JPJ Ke-78.
Menurutnya, siri FFF ini dibuka untuk bidaan selama lima hari secara dalam talian melalui sistem JPJeBid bermula hari ini hingga pukul 10 malam, 15 Mei.
“Kita menyasarkan kutipan sebanyak RM20 juta hasil daripada bidaan nombor pendaftaran tersebut dan keputusan penawaran NPI siri FFF akan diumumkan pada 16 Mei ini,” ujarnya.






























