PETALING JAYA: Polis menahan dua lagi suspek dipercayai terlibat dalam kes baling bom petrol di sebuah pusat hiburan di Jalan Yap Kwan Seng, di sini, awal pagi Rabu lalu.
Penahanan ini menjadikan empat suspek berusia 25 tahun hingga 28 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes itu.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, dua tangkapan baharu dilakukan pada pagi ini menjadikan keseluruhan tangkapan seramai empat orang lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian tersebut.
“Kesemua tangkapan ditahan reman empat hari bermula hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Rusdi, polis masih menyiasat motif suspek membaling bom petrol pada pusat hiburan berkenaan.
Sebelum ini, tular dalam media sosial satu video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan empat individu menunggang motosikal membaling bom petrol di hadapan pusat hiburan berkenaan.
Rentetan itu, polis menahan dua lelaki berusia 25 tahun di sebuah rumah sekitar ibu negara, kelmarin bagi membantu siasatan berkaitan kes kebakaran berkenaan.
Dalam pada itu, Rusdi turut menafikan kejadian tersebut mempunyai kaitan dengan sebarang unsur ekstremisme.
Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.































