PETALING JAYA: Sebanyak RM5 bilion hingga RM6 bilion dianggar bakal dikeluarkan oleh ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam masa terdekat selepas permohonan penstrukturan semula akaun KWSP yang bermula hari ini.
Menurut Utusan Malaysia, penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, anggaran nilai tersebut dikeluarkan pada awal permohonan namun selebihnya tetap akan disimpan oleh ahli untuk mendapatkan pulangan dividen lebih baik.
“Kelulusan untuk mengeluarkan wang daripada akaun 3 atau akaun fleksibel merupakan penantian bagi ahli KWSP yang memohonnya.
“Namun, mungkin hanya 0.5 peratus daripada jumlah keseluruhan perpindahan dalam Akaun Sejahtera yang akan dikeluarkan. Ini kerana, ahli KWSP masih mahu mendapatkan manfaat daripada kadar dividen yang menarik,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jelas Aimi, pengeluaran tersebut juga merupakan suntikan kepada ekonomi tempatan sekiranya dibelanjakan di dalam negara.
“Ia boleh meningkatkan jumlah segmen perbelanjaan pengguna dalam suku kedua tahun ini,” ujarnya.
Sementara itu, Penganalisis Ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berpendapat sama bahawa akaun itu akan memberikan impak positif kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
“Negara akan melihat pertambahan penggunaan oleh isi rumah yang akan menambahkan penggunaan persendirian dan turut meningkatkan KDNK serta menambahkan potensi kadar pertumbuhan bagi tahun ini,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berharap kumpulan T20 dan M40 tidak membuat ambilan terus dan membelanjakan wang mereka dengan boros seperti melancong ke luar negara atau membuat pembelian yang tidak diperlukan yang mungkin tidak menambah kepada kenaikan KDNK.
“Ini kerana negara akan rugi sekiranya pengeluaran tersebut tidak dibelanjakan di Malaysia,” ujarnya.
Mengulas mengenai jangka masa panjang ahli KWSP, terutama kumpulan B40, beliau berpendapat, kerajaan boleh mengawal kumpulan itu kerana mereka hanya dibenarkan membuat pengeluaran maksimum RM3,000 bagi yang mempunyai simpanan kurang daripada RM50,000.
“Walaupun begitu, seramai 5.2 juta ahli KWSP hanya mempunyai baki RM50,000 dan seramai 3.2 juta daripada golongan B40 mempunyai kurang daripada RM10,000, sekali gus memberi kesan teruk di waktu persaraan nanti,” katanya.
Jelas Barjoyai, ia disebabkan mereka tidak cukup baki simpanan untuk membolehkan mereka bersara sebab sasaran persaraan adalah sebanyak RM250,000 dan menjadi aspek yang perlu diambil perhatian.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Akaun Fleksibel atau Akaun 3 sebagai akaun baharu yang boleh diakses oleh ahli pada bila-bila masa bermula 11 Mei 2024.































