Mangsa yang tersesat gara-gara menggunakan aplikasi Waze berjaya diselamatkan anggota bomba di Felda Teloi Kanan, Sik.
SIK: Gara-gara menggunakan aplikasi pandu arah, Waze seorang lelaki tersesat lebih kurang enam jam dalam kebun getah dan kelapa sawit di Felda Teloi Kanan, di sini ketika dia mahu pulang ke rumah abangnya di Sungai Petani.
Difahamkan mangsa berusia 32 tahun itu pulang beraya dari rumah rakannya di Sungai Lalang, Sungai Petani kira-kira pukul 1 pagi tadi, namun tersesat jauh apabila dia hanya berpandukan aplikasi berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, lelaki itu hanya berjaya menghubungi bomba kira-kira pukul tujuh pagi ini setelah dia puas mencari liputan telekomunikasi di kawasan tersebut.
Menurutnya, mangsa menunggang motosikal jenis Honda RS seorang diri ketika kejadian dan tersesat sehingga lebih 10 kilometer dari jalan besar.
“Sebaik menerima panggilan kecemasan daripada mangsa, anggota bergegas ke lokasi untuk melakukan penyelamatan dan dia ditemui dalam keadaan lemah pada pukul 8.10 pagi.
“Dia tidak menyangka tersesat sehingga ke kebun getah dan ladang kelapa sawit itu kerana dia hanya berpandukan aplikasi Waze untuk pulang bermalam di rumah abangnya di Sungai Petani,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Zulkhairi berkata, mangsa memaklumkan pandangannya menjadi gelap ketika dia menyedari tersesat sebelum mula panik dengan situasi dihadapinya.
“Mangsa mendakwa turut terdengar bunyi binatang buas dan lembaga seakan-akan manusia sepanjang berada dalam kebun terbabit.
“Ketika ditemui dia dalam keadaan takut, badan terketar-ketar dan menangis teresak-esak. Namun dia tidak mengalami sebarang kecederaan tetapi tetap dihantar ke Klinik Kesihatan Teloi Timur untuk pemeriksaan,” katanya.































