Tangkap layar satu rakaman video yang menunjukkan kejadian rusuhan bersenjata di Butterworth, Pulau Pinang.
BUTTERWORTH : Seramai 28 lelaki berusia antara 17 hingga 51 tahun ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes rusuhan dengan bersenjatakan parang di sini, semalam.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd. Asri Shafie berkata, kesemua suspek ditahan oleh sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang hari ini bersama barang rampasan kes tersebut.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati, pergaduhan dipercayai bermula dengan pertengkaran dan provokasi sesama mereka.
“Kesemua suspek yang ditahan bagaimanapun kini direman oleh Mahkamah Majistret Butterworth untuk siasatan lanjut.
“Setakat ini, kita masih mengesan saki baki suspek yang terlibat dalam kejadian ini,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Jelas Mohd. Asri, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sesiapa pihak yang mempunyai maklumat diminta untuk menghubungi balai polis berhampiran.
“Orang ramai juga boleh terus menghubungi pegawai penyiasat kes, Asisten Superintenden Nasrina Darus di talian 04-5762222 jika mempunyai maklumat mengenai kejadian berkenaan,” katanya.
Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi empat saat di mana sekumpulan lelaki bersenjatakan parang merusuh dan menyerang sebuah kereta. Difahamkan, kejadian itu berlaku di kawasan Raja Uda di Butterworth.




























